05 September 2011

Pemergian Yang Sangat Dirasai

Aku kembali semula melakar ayat-ayat didunia blog ini bagi menyimpan seribu sejarah dan kenangan. Seperti yang dijanjikan sebelum raya, tapi mood aku tidaklah happy sepertimana yang diharapkan.

Tanggal 5 September 2011 atau 07 Ramadhan menjadi detik paling sedih dan akan diingati selagi hayat aku dan keluarga dikandung badan. Sememangnya raya tahun ini tidak segah tahun lepas-lepasnya. Raya yang paling wasatiah dalam keluarga. Macam nak tak nak raya je. Cuma raya pertama tetamu datang berkunjung sangat ramai, terutama dari kalangan keluarga dan saudara.

Mulai raya kedua, Tok aku @ Romlah binti Rejab menunjukkan kesihatan yang semakin merosot. Kami semua dah mula bagi perhatian penuh kat dia, terutama Bapak aku, Mak Su aku yang menjaga dia setiap hari & Mak Ndak aku yang tinggal dengan dia. Alhamdulillah Tok aku mempunyai cucu-cucu yang ramai dan sudah besar, jadi bacaan Yasin dihadiahkan kepada dia secara giliran.

Ada disatu ketika, kesihatan dia sangat merosot dan dia berada dalam keadaan tenat. Mulai hari tersebut, memang kami menjaga dia siang & malam. Yasin juga disedekahkan kepada dia tidak putus-putus. Sedih melihatkan dia. Kami semua mahukan yang terbaik untuk dia, yang mana dapat mudahkan dia & kurangkan sakit dia.

Tok yang akan berumur 93 tahun lagi 9 hari terlantar tiada daya sejak bahu dia terkeluar. Mulai hari itu pergerakan dia semua dibantu. Oleh kerana jarang bergerak, kaki dia pula tidak dapat digerakkan sebab tak boleh nak dipijak. Dari luar tiada apa-apa. Tapi hari makin hari kaki kiri dia makin membengkak dan jari-jari kaki bertukar kehitaman. Kecian Tok, dugaan dia yang sangat sakit. Setelah dirawat kesana-sini, barulah tahu kaki Tok telah gangren, seperti yang disangka aku. Kaki dia mati sedikit demi sedikit tanpa Tok menghidapi apa-apa penyakit lain. Wallahualam.

Namun raya kali ini akan paling diingati kerana raya ini dah mengumpulkan keseluruhan ahli keluarga kami, dari yang muda sehingga yang tertua. Kami berkumpul untuk mendoakan kesihatan Tok dan kemudahan kepada dia pada waktu yang mana mungkin dia menghadapi Sakaratul Maut nya.

Airmata aku dan ahli keluarga tidak dapat disukat lagi pada ketika ini. Disaat Tok memanggil Mak dan Pak nya ketika dia rasa tersangat sakit, hati kami bagai disayat sembilu. Sangat sebak dan sedih.  Kami sebagai cucu juga mengambil giliran untuk menemaninya dan mengajar ucapan Syahadah, La Illah Hai Allah, Tiada Tuhan Melainkan Allah.

Pada hari Isnin bersamaan 7 Ramadhan, disaat semua kembali ke daerah masing-masing dan bekerja, dimana aku masih lagi bercuti. Aku bangun dan tengok Abah aku tido keletihan, semalaman dia menemani Emaknya. Aku terus layan TV sebelum Abah aku minta aku pergi tengok Tok sebab Abah aku nak tido kejap. Aku dengan berbaju tido berlengang kerumah Tok, aku tengok sepupu aku, Fizah ada dihujung kaki Tok sambil menunggu Tok. Aku tengok Tok, dia tido. Okla tuh. Dah seminggu kot dia langsung tak tido sebab meracau. Mak Su aku baru balik umah dia lepas bagi makan kat Tok. Aku pergi duduk dan baca suratkhabar.

Dah habes satu suratkhabar, aku bangun lagi, aku tengok Tok tido. Aku taknak kacau dia. Aku mintak Fizah jaga sebab aku nak balik mandi & sidai kain baju. Aku balik rumah, aku duduk layan TV sebelum Abah aku bangun dan tanya, "Tok hang buat apa?". Aku jawab, "Tok tido, orang tak mau kacau dia. Fizah tunggu.".

Dengan pantas Abah aku meluru kerumah Tok dan pulang, "TOK HANG DAH TAKDAK, BOLEH HANG CAKAP DIA TIDOQ.". "ASTAGFIRULLAHALAZIM!!". Aku terus berlari keluar menghala kerumah Tok dengan berkaki ayam. Dada aku berombak laju. Aku tengok Tok nyenyak tido. Badan masih panas. Bila dicheck nadi dan pernafasan dia, "INNALILLAHIWAINAHIRAJIUN. DARI DIA KITA DATANG DAN KEPADA DIA KITA KEMBALI." Arwah Tok aku pergi dalam diam dan penuh kelembutan. Tiada setitis pun airmata aku disaat itu. Kepala Arwah Tok aku pegang dan cium.

Dengan tangan terketar-ketar, aku menghubungi semua pak sedara dan sepupu-sepupu yang dah pulang ke daerah masing-masing. Memaklumkan khabar sedih ini. Mak Su aku membersihkan Arwah Tok aku dengan sebersih-bersihnya.

Aku dan adik-beradik aku balik kerumah dan menyiapkan diri sebelum kembali kerumah Arwah Tok untuk membantu disana sebelum orang kampung datang melawat dia, dari seorang sehingga keberatus orang. Alhamdulillah.

Arwah Tok dibersihkan dan diletakkan menghadap Kiblat diatas katil kesayangannya dilitupi sehelai selendang putih miliknya. Wajah Arwah Tok setenang-tenangnya. Setiap kali aku membuka selendang itu bagi memberi peluang orang memberi penghormatan kepada Arwah Tok, airmata aku merembes keluar.

Arwah Tok akan disemadikan selepas Asar pada hari yang sama. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku dapat memandikan Arwah Tok bersama-sama menantu-menantunya. Sesungguhnya Arwah Tok sangat berjasa menjaga aku sejak aku lahir sehingga besar. Kalau nak dicerita, sangat panjang. Oleh itu, aku harus melayaninya untuk terakhir kali dengan sebaik mungkin. Arwah Tok sangat beruntung kerana punyai menantu dan cucu perempuan yang sangat mengasihinya, dimana Arwah Tok dipakai pakaian terakhirnya dengan selembut dan sekemas mungkin sebelum dikafankan.

Selepas dikafankan, ahli keluarga diberikan peluang untuk ciuman terakhir. Disaat ini airmata semua merembes keluar dengan laju dan selajunya. Sangat sedih bila memikirkan itu perjalanan terakhir Arwah Tok. Pergi dan tidak akan lagi kembali. Selepas keranda diangkat, barulah aku menyedari orang sangat ramai didalam dan diluar rumah bagi mengucapkan selamat tinggal buat Arwah Tok. Subhanallah. Sangat ramai juga dihalaman rumah. Sudah lama aku tidak melihatkan suasana macam itu. Ramai yang membantu mengusung keranda ke surau dibelakang rumah kami untuk disembahyangkan. Arwah Tok, ramai yang mengasihi dan menyayangimu.

Aku teringat disatu petang dimana Arwah Tok dalam keadaan nazak, kami semua diminta untuk berdoa untuk dimudahkan dan dilepaskan dengan baik. Aku berbisik kepada Arwah Tok, "Tok, terima kasih sebab dah menjaga orang dan orang redha Tok pergi,". Sebab aku pernah berdoa satu masa dulu supaya Arwah Tok jangan pergi dulu sebelum aku kawen. Tapi hari tu, semuanya aku tarik kembali.

Semoga Arwah Tok ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan berada dibawah rahmatNya. Sesungguhnya kami waris Arwah Tok sangat menyayangi dan memohon kesejahteraan untuk roh Arwah Tok.

Al-Fatihah
Romlah binti Rejab
1918 - 2011

Love,
Wanie


No comments:

Post a Comment

The sadness thing in your life

Just a quick update as a reminder to myself Its really hard to accept that life as a fat woman actually. Hahahaha For the 1st time aku merun...